Nuansa Perkongsian Nur

Mukadimah


Assalamualaikum..
"Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang" kami ingin berkongsi ilmu dengan para pembaca dan memperoleh redha-Nya. Semoga Allah memberi jalan yang lurus kepada semua hamba-Nya. Amin
Mari Berdakwah



Syukran Jazilan

Template: Aina Syaza
Editor:NUR
Other: WeHeartIt Photobucket

Sahabat Berkualiti
Assalamualaikum.
 
'Sahabat' secara ringkasnya didiskripsikan sebagai teman manakala secara telitinya bermaksud peneman yang sentiasa bersama-sama seseorang sewaktu menghadapi pelbagai jenis dugaan dalam hidup. Dugaan pula bukan hanya terhad kepada suatu kesedihan yang ditimpakan kepada seseorang oleh Pencipta untuk menguji kesabaran mereka malah dugaan juga berbentuk sesuatu yang menimbulkan rasa yang amat menyenangkan yang diberikan oleh Pencipta untuk menguji tahap keimanan dan ketakwaan hamba-Nya. 

Sahabat atau teman mempunyai pelbagai fungsi namun kebanyakan individu hanya menyifatkan tanggungjawab mereka sebgai seorang sahabat hanyalah dalam mengisi kekosongan dalam diri seseorang insan. Berikut adalah beberapa tanggungjawab sebagai seorang sahabat (pada pendapat saya):
  1. menyayanginya seikhlas hati
  2. menariknya ke jalan yang diredhai Pencipta
  3. menasihatinya agar menjalankan amar makruf nahi mungkar
  4. mendoakan kesejahteraannya di dunia dan akhirat
  5. mengisi kekosongan dalam dirinya dan diri sendiri / melengkapkan segala kelemahan yang ada

Kualiti Persahabatan

Untuk melahirkan suatu persahabatan yang berkualiti, terdapat satu sifat yang paling penting perlu ada dalam diri setiap sahabat yang boleh mendatangkan pelbagai kebaikan iaitu "Ikhlas". Apabila persahabatan yang berpaksikan keikhlasan dan 'Lillahi Taala' antara kedua-dua pihak itu terjalin, pelbagai keburukan sesama sahabat dapat diperbaiki bersama-sama kerana kedua-duanya mempunyai satu tujuan utama iaitu menginginkan redha Ilahi. Selain itu, keikhlasan dapat mencipta satu lagi sifat iaitu "Sabar". Persahabatan yang berpaksikan keikhlasan mempunyai sifat sabar dalam menghadapi segala karenah yang ditimbulkan oleh sahabat sekaligus dapat mengelakkan berlakunya pertelingkahan sesama saudara. Sifat sabar pula akan membentuk rasa "Hormat-Menghormati" sesama sahabat. Setiap pasangan sahabat akan sentiasa menghormati setiap kelemahan dan kelebihan sesama sendiri selain tidak akan sesekali cuba menjatuhkan maruah sahabat sendiri serta menjaga aib sahabatnya. Setelah melengkapkan kesemua sifat tersebut dalam diri, akan wujudlah rasa "Kasih-Sayang" dan "Tanggungjawab" dalam diri setiap pasangan sahabat untuk sentiasa memastikan sahabatnya melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan yang telah ditetapkan oleh Allah. Seterusnya, sifat "Rasional" juga mempengaruhi kualiti sesebuah hubungan persahabatan. Dengan adanya rasional dalam diri masing-masing setiap pasangan sahabat tidak akan mudah bersangka buruk terhadap sahabat sehingga menimbulkan rasa cemburu, benci dan dendam dalam terhadap sahabat mereka sendiri yang sekaligus dapat mengelakkan dari berlakunya perselisihan faham. Nilai "Kerjasama" juga akan menyusul dalam persahabatan yang berunsurkan sifat-sifat tadi. Pasangan sahabat akan sentiasa bekerjasama memperbaiki kelemahan masing-masing "tanpa mengenal erti putus asa" demi mencapai hasrat mereka yang satu dari Yang Maha Esa.


Dengan ini, kita maklum bahawa sahabat itu banyak fungsinya dan bukan sekadar menghiburkan diri yang dalam kesedihan semata-mata. Namun bagi memperoleh persahabatan yang berkualiti, setiap insan perlu bijak dalam memilih rakan-rakan selain menanamkan rasa ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan dalam memulakan sesuatu hubungan persahabatan. Sesetengah orang ada menyifatkan, berpunca daripada sahabat juga seseorang itu mempunyai personaliti yang buruk. Hal ini kerana tujuan persahabatan itu hanya berpaksikan hiburan semata-mata dan tidak meletakkan objektif untuk mencapai keredhaan dan kasih-sayang daripada Allah semata-mata serta mendorong kepada bisikan daripada syaitan di kamar hati mereka.


Pilihlah akan dikau sahabat yang menjadi penawar nescaya engkau akan dipermudahkan.
Hindarilah akan dikau sahabat yang menjadi racun nescaya engkau akan dipersulitkan. 
"Hakmilik NUR"


Older Post | Newer Post